Rabu, 16 Disember 2015

Selamat tinggal tahun 2015

Assalamualaikum dan selamat malam


Sudah lama aku tidak membuat coretan dalam blog saya ni. Sudah setahun aku tidak menulis. Faktor kesibukan tugas dan kekangan masa tidak mengizinkan aku menulis sepanjang tahun 2015.

Dua minggu lagi dengan izin Yang Maha Esa kita akan masuk ke tahun 2016. Cepat benar masa berlalu pergi. Segala peristiwa suka dan duka yang berlaku sepanjang tahun 2015 telah menjadi kenangan. Apa yang penting sekarang kita mesti terus melangkah dalam kepayahan demi mencapai impian. Aku yakin anda semua mempunyai  impian cuma belum tercapai atau pun dalam perjalanan menuju impian.

Tahun 2015 merupakan tahun kedua aku mengajar di Kudat,Sabah. Bermacam-macam pengalaman dan ilmu yang aku alami dan peroleh sepanjang tahun 2015. Ada pengalaman yang manis dan ada juga pengalaman yang pahit. Pelbagai cabaran harus ditempuh untuk mendidik anak bangsa. Segala pengalaman yang telah dialami terlalu banyak untuk diceritakan , Betul lah orang kata pengalaman mengajar kita erti kehidupan.

Pada post kali ini, aku ingin menceritakan tentang serba sedikit tentang sekolah tempat aku bertugas dengan rakan-rakan sekalian.

Pada bulan Februari 2016 nanti dengan izin Tuhan genaplah 2 tahun aku berkhidmat di sekolah aku ini. Sekolah aku ini terletak lebih kurang 40 km dari pekan Kudat Sabah. Setiap hari aku memandu kereta dari rumah sewa di pekan Kudat ke sekolah  yang mengambil masa lebih kurang 40 minit. Keadaan jalan di sini tidak seperti jalan di ibu kota, perlu berhati-hati dalam memandu dan agak merbahaya memandu dengan laju takut terbabas atau terlanggar dengan anjing atau van putih. Kalau di sini van putih tu macam teksi atau dipanggil pirate.

Sekolah aku ini merupakan sekolah luar bandar. Majoriti pelajar di sini adalah dari kaum Rungus iaitu salah satu daripada kaum etnik Sabah yang tinggal di kawasan Kudat. Majoritinya beragama Kristian. Kebanyakan ibu bapa pelajar yang belajar di sini bekerja sebagai petani dan bekerja sendiri. Mereka berbahasa Rungus dan agak sukar untuk mengajar dalam bahasa loghat Pahang macam aku ni Hehehe... Kenalah belajar bahasa Sabah dan Rungus sikit2...

Satu lagi, sekolah ini terletak di daerah kecil Matunggong dalam kawasan Kudat.Rakan-rakan boleh search dekat Google Maps dekat mana kawasan ini terletak. Kawasan ini terkenal dengan pembuatan gong dan hasil kraftangan seperti manik. Ada juga tempat penghasilan madu. Kalau rakan-rakan mahu merasai tinggal di rumah panjang di sini ada rumah panjang kaum Rungus.

Rasanya setakat ini sahaja lah dulu cerita aku pada kali ini...Terima kasih sebab sudi baca post aku kali ini. Insha Allah tahun 2016 nanti aku akan sentiasa kemaskini blog ini untuk tatapan rakan-rakan.

Semua cerita dalam blog ini bukan fantasi tapi realiti tentang kehidupan yang aku lalui sebagai seorang guru. Jika terdapat rakan-rakan pembaca yang ingin kongsi atau komen boleh komen di ruangan komen.

Selamat malam...