Isnin, 12 November 2012

Jasamu akan ku kenang...

Aku memasuki darjah satu pada tahun 1991 di SK Teruntum Kuantan. Di sekolah inilah aku belajar membaca, menulis dan mengira. Terima kasih kepada semua guru aku yang gigih berusaha mengajar dan mendidik aku. Jasa mereka semua akan ku ingat sampai akhir hayat. Tanpa mereka semua mungkin aku tidak dapat menulis kisah aku ini. Sekarang baru aku sedar besarnya jasa guru mendidik anak bangsa. Aku tidak dapat bayangkan jika guru tiada apa akan jadi pada agama, bangsa dan tanahair kita sekarang. Adakah mungkin bangsa kita masih dijajah sehingga sekarang? Adakah tanahair kita masih diperintah oleh pihak asing?Besar sungguh jasamu guru...

Tapi aku terkilan, aku tidak dapat berjumpa dengan guru-guru sekolah rendah aku dulu...Ke manakah mereka pergi? Tapi apakan daya aku ini manusia. Fikiran aku tidak kuat untuk mengingati nama dan wajah guru ku semasa aku mula bersekolah dulu. Aku cuma mampu berdoa kepada Allah supaya mereka sentiasa dirahmati olehNya. Tanpa mereka siapalah aku sekarang ini?

Wahai anak-anak bangsaku, hargai dan hormatilah guru. Segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang kita perolehi selama ini berpunca daripada guru. Siapakah yang mengajar kita membaca sehingga kita dapat mengetahui dan menguasai semua ilmu yang kita pelajari? Siapakah yang mengajar kita menulis sehingga kita dapat menulis komen-komen dalam Facebook, menulis surat permohonan kerja dan sebagainya. Siapakah yang mengajar kita mengira sehingga kita dapat mengetahui jumlah duit yang ada dalam dompet kita sekarang? Hormatilah guru dan kenangkanlah mereka selalu kerana tanpa guru siapalah kita.








Sabtu, 10 November 2012

Catatan pertama saya

Selamat datang kepada anda yang melawat blog saya ini. Saya sebenarnya baru hendak belajar menulis dalam blog atau boleh dikatakan hendak menjadi seorang blogger. Saya bukanlah seorang yang pandai menulis tapi dengan adanya blog ini saya cuba belajar hendak menulis.

Saya mulakan catatan saya pada hari ini Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Pada catatan saya yang pertama ini saya ingin memperkenalkan diri saya. Saya dilahirkan di Kuantan pada bulan November 1984. Arwah ayah saya bekerja sebagai pegawai kerajaan dan mak saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik. Saya dibesarkan di Temerloh Pahang dari usia saya masih kecil sehingga saya memasuki Darjah 1 di sebuah sekolah rendah di Temerloh, Pahang. Selepas itu, saya dan keluarga saya berpindah ke Kuantan Pahang kerana arwah ayah saya ditukarkan dari Temerloh ke Kuantan. Saya bersekolah rendah, menengah dan meneruskan pengajian Pra-U di Kuantan. Sepanjang masa persekolahan banyak detik-detik pahit dan manis yang saya alami. Saya percaya semua orang mempunyai pengalaman pahit dan manis semasa bersekolah kerana kita menghabiskan sebahagian besar hidup kita di alam persekolahan.

Semasa saya bersekolah banyak perkara yang saya belajar. Saya mula merasai belajar dengan kawan-kawan pada masa saya darjah 1. Saya tidak pernah merasai belajar di pra-sekolah seperti kebanyakan kanak-kanak lain. Mak saya pernah berkata masa umur 5-6 tahun masa untuk bermain bukan masa untuk belajar secara formal lagi. Semua adik beradik saya tidak pernah belajar di pra-sekolah cuma abang sulung pernah belajar di pra-sekolah tapi cuma sekejap sahaja. Alhamdulillah walaupun saya dan adik beradik saya tidak pernah mengikuti pra sekolah kami semua boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik sejak sekolah rendah lagi. Pada pendapat saya pada umur 4,5 dan 6 tahun kanak-kanak perlu bermain kerana zaman kanak-kanak merupakan zaman yang paling indah dalam hidup. Biarlah mereka meneroka dunia ini dengan bermain sekaligus dapat memperkayakan lagi pengalaman hidup mereka. Guru yang terbaik untuk mereka pada masa ini ialah ibu bapa. Masa inilah mereka perlukan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa.

Saya akan sambung semula kisah hidup saya dalam catatan yang akan datang...