Selasa, 19 Ogos 2014

Perjalananku sebagai seorang guru...Part 1

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian...

Pada post kali ini aku ingin berkongsi dengan kawan-kawan semua tentang perjalananku menjadi seorang guru. Sudah lama aku ingin berkongsi dengan kalian semua tentang ceritaku menjadi seorang guru. Dulu aku tidak pernah bercita-cita dan terlintas di hati pun menjadi seorang guru. Masa di bangku sekolah dulu apabila ditanya cikgu  apabila besar esok nak jadi apa, aku mengatakan yang aku ingin menjadi seorang doktor. Mungkin pada masa itu dalam fikiran aku tiada cita-cita yang lain selain ingin  menjadi doktor, polis, bomba, askar atau cita-cita lain yang sering diungkapkan oleh kanak-kanak sekolah apabila ditanya tentang cita-cita. Selepas menamatkan matrikulasi di Kuantan Pahang pada tahun 2002 aku tidak pun terfikir umtuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan tetapi memilih mengambil jurusan Sains Komputer di Melaka.

Beberapa tahun selepas itu, selepas berjaya menghabiskan pengajian aku bekerja di syarikat swasta selama setahun di Kuantan dalam bidang IT. Selepas berhenti kerja di syarikat tersebut, aku mencari kerja lain. Tidak lama selepas itu, ayah kepada kawan baik aku memberikan aku borang permohonan Guru Sandaran Tidak Terlatih. Aku mencuba nasib mengisi borang permohonan tersebut dan menghantarnya ke PPD Kuantan. Aku memohon jawatan tersebut bukan kerana cita-cita aku ingin menjadi guru tetapi inginkan kerja semata-mata. Apakah terjadi selepas itu sama ada aku berjaya mendapatkan jawatan GSTT ke tidak saya akan sambung dalam post yang akan datang...

Bye...Assalamualaikum

Kongsi ilmu...




Assamualaikum kepada pembaca semua...

Kali ini aku teruskan coretan dalam blog ini. Aku baru pulang dari menghadiri kursus di PKG Kudat tentang Frog VLE yang berlangsung selama dua hari. Terima kasih kepada penceramah dan fasilitator yang banyak berkongsi ilmu tentang langkah-lamgkah membina laman pembelajaran menggunakan Frog VLE. Aku harap selepas ini aku dapat berkongsi segala ilmu yang diperolehi kepada rakan-rakan guru di sekolah aku nanti.

Kita sebagai manusia memerlukan orang lain untuk meneruskan kehidupan. Kita belajar ilmu daripada orang lain. Ilmu yang yang diperolehi itu harus dikongsi dengan orang lain kerana ilmu itu bukan milik kita tetapi milik Maha Bijaksana. Tidak sesiapa yang boleh berbangga dengan banyaknya ilmu yang diperolehi dan tidak boleh menjadi kedekut untuk berkongsi ilmu tersebut dengan orang lain. Percayalah ilmu kita akan bertambah jika kita sentiasa merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan orang lain. Jadilah seperti air hujan lebat yang menyuburkan tanah yang kering. Aku coretkan semua ini untuk berpesan kepada diriku ini yang selalu lupa bahawa ilmu itu bukan milik kita seorang.

Semoga kita berjumpa lagi pada coretan yang akan datang.


Isnin, 18 Ogos 2014

Sudah sekian lama...

Assamualaikum. Apa khabar semua? Semoga berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.
Sudah lama aku tidak menulis dalam blog ini sejak aku ditempatkan mengajar di Kudat Sabah. Aku sudah lama tidak membuat coretan kerana sibuk dengan tugas dan menyesuaikan diri untuk hidup di perantauan.
Tahniah diucapkan kepada kawan2 Dpli Gstt yang dipilih untuk berkhidmat sebagai guru di seluruh pelosok tanahair dari Perlis sampai ke Sabah. Anak bangsa negara ini perlukan khidmat kita semua untuk membantu mereka membina masa depan yang cerah.
Setakat ini dulu coretan ringkas aku kali ini. Insha Allah ada masa nanti kita bersua lagi.