Jumaat, 8 Januari 2016

Minggu pertama

Assalamualaikum dan selamat malam rakan-rakan pembaca sekalian.

Pada hari ini genap 5 hari minggu pertama persekolahan. Minggu ini merupakan minggu yang agak sibuk. Saya percaya rakan-rakan pembaca juga mesti sibuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Hari ini juga diadakan aktiviti merentas desa di sekolah aku. Hampir semua pelajar terlibat termasuk pelajar dari pendidikan khas
Aku merasa amat kagum dengan bakat yang terdapat dalam diri pelajar istimewa ini. Mereka berjaya menandingi kehebatan pelajar yang lain dalam aktiviti ini. Walau mereka kurang upaya tetapi mereka dapat buktikan yang
mereka sama sahaja dengan pelajar yang lain. Tuhan Maha Adil dan manusia dijadikan dengan pelbagai kebolehan dan kelebihan yang tidak sama.

Oklah mata dah mengantuk ni...Insha Allah nanti aku akan menulis lagi.

Selamat malam 

Rabu, 16 Disember 2015

Selamat tinggal tahun 2015

Assalamualaikum dan selamat malam


Sudah lama aku tidak membuat coretan dalam blog saya ni. Sudah setahun aku tidak menulis. Faktor kesibukan tugas dan kekangan masa tidak mengizinkan aku menulis sepanjang tahun 2015.

Dua minggu lagi dengan izin Yang Maha Esa kita akan masuk ke tahun 2016. Cepat benar masa berlalu pergi. Segala peristiwa suka dan duka yang berlaku sepanjang tahun 2015 telah menjadi kenangan. Apa yang penting sekarang kita mesti terus melangkah dalam kepayahan demi mencapai impian. Aku yakin anda semua mempunyai  impian cuma belum tercapai atau pun dalam perjalanan menuju impian.

Tahun 2015 merupakan tahun kedua aku mengajar di Kudat,Sabah. Bermacam-macam pengalaman dan ilmu yang aku alami dan peroleh sepanjang tahun 2015. Ada pengalaman yang manis dan ada juga pengalaman yang pahit. Pelbagai cabaran harus ditempuh untuk mendidik anak bangsa. Segala pengalaman yang telah dialami terlalu banyak untuk diceritakan , Betul lah orang kata pengalaman mengajar kita erti kehidupan.

Pada post kali ini, aku ingin menceritakan tentang serba sedikit tentang sekolah tempat aku bertugas dengan rakan-rakan sekalian.

Pada bulan Februari 2016 nanti dengan izin Tuhan genaplah 2 tahun aku berkhidmat di sekolah aku ini. Sekolah aku ini terletak lebih kurang 40 km dari pekan Kudat Sabah. Setiap hari aku memandu kereta dari rumah sewa di pekan Kudat ke sekolah  yang mengambil masa lebih kurang 40 minit. Keadaan jalan di sini tidak seperti jalan di ibu kota, perlu berhati-hati dalam memandu dan agak merbahaya memandu dengan laju takut terbabas atau terlanggar dengan anjing atau van putih. Kalau di sini van putih tu macam teksi atau dipanggil pirate.

Sekolah aku ini merupakan sekolah luar bandar. Majoriti pelajar di sini adalah dari kaum Rungus iaitu salah satu daripada kaum etnik Sabah yang tinggal di kawasan Kudat. Majoritinya beragama Kristian. Kebanyakan ibu bapa pelajar yang belajar di sini bekerja sebagai petani dan bekerja sendiri. Mereka berbahasa Rungus dan agak sukar untuk mengajar dalam bahasa loghat Pahang macam aku ni Hehehe... Kenalah belajar bahasa Sabah dan Rungus sikit2...

Satu lagi, sekolah ini terletak di daerah kecil Matunggong dalam kawasan Kudat.Rakan-rakan boleh search dekat Google Maps dekat mana kawasan ini terletak. Kawasan ini terkenal dengan pembuatan gong dan hasil kraftangan seperti manik. Ada juga tempat penghasilan madu. Kalau rakan-rakan mahu merasai tinggal di rumah panjang di sini ada rumah panjang kaum Rungus.

Rasanya setakat ini sahaja lah dulu cerita aku pada kali ini...Terima kasih sebab sudi baca post aku kali ini. Insha Allah tahun 2016 nanti aku akan sentiasa kemaskini blog ini untuk tatapan rakan-rakan.

Semua cerita dalam blog ini bukan fantasi tapi realiti tentang kehidupan yang aku lalui sebagai seorang guru. Jika terdapat rakan-rakan pembaca yang ingin kongsi atau komen boleh komen di ruangan komen.

Selamat malam...



Khamis, 1 Januari 2015

Selamat Tahun Baru 2015



Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baharu 2015 kepada anda semua...

Pejam celik pejam celik sekarang kita sudah masuk ke dalam tahun yang baharu. Saya yakin anda semua telah menetapkan  azam yang baru untuk dicapai pada tahun ini. Tidak kira azam apa pun yang kita tetapkan yang penting sekali kita mesti berniat untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Sudah lama saya tidak membuat coretan di dalam blog ini kerana kesuntukan masa, tetapi saya berazam untuk terus menulis pada tahun ini. Saya ingin berkongsi dengan anda semua apa yang saya rasa, ilmu yang saya ada dan serba sedikit pengalaman hidup saya khususnya kehidupan saya sebagai guru di perantauan.

Saya melahirkan rasa simpati dan sedih kepada rakan-rakan saya yang menjadi mangsa banjir terutama di Kelantan dan Terengganu. Tidak mungkin saya dapat rasakan kesusahan yang dialami oleh kalian semua. Saya berharap kalian semua bersabar dalam menghadapi ujian Allah ini. Sesungguhnya ujian yang berat ini dapat meningkatkan darjat kalian semua di sisi Allah dan menjadi penghapus dosa. Saya berdoa kepada Allah untuk kalian semua supaya keadaan kembali pulih seperti sedia kala dan membina semangat yang baru untuk menghadapi hari - hari yang akan datang.

Insha ALLAH, pada minggu hadapan, saya akan kembali semula ke Sabah setelah bercuti di kampung halaman. Saya juga ingin mengucapkan selamat kembali bertugas kepada rakan-rakan guru di mana sahaja kalian bertugas. Mari kita teruskan usaha kita untuk mendidik anak bangsa yang tercinta walaupun nanti pelbagai cabaran yang kita akan hadapi. Apa yang paling penting kita sentiasa berniat untuk menjalankan tugas kita sebagai ibadah kepada Allah swt Insha Allah, Allah akan memberi rahmat kepada kita dunia dan akhirat. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan guru khususnya di sekolah saya yang dapat berpindah, tahniah saya ucapkan. Sesungguhnya kenangan kita bertugas bersama saya tidak akan lupakan dan terima kasih kerana banyak memberi pertolongan kepada saya selama kita bertugas bersama.

Akhir kata, jumpa lagi dalam coretan yang akan datang.




Selasa, 19 Ogos 2014

Perjalananku sebagai seorang guru...Part 1

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca sekalian...

Pada post kali ini aku ingin berkongsi dengan kawan-kawan semua tentang perjalananku menjadi seorang guru. Sudah lama aku ingin berkongsi dengan kalian semua tentang ceritaku menjadi seorang guru. Dulu aku tidak pernah bercita-cita dan terlintas di hati pun menjadi seorang guru. Masa di bangku sekolah dulu apabila ditanya cikgu  apabila besar esok nak jadi apa, aku mengatakan yang aku ingin menjadi seorang doktor. Mungkin pada masa itu dalam fikiran aku tiada cita-cita yang lain selain ingin  menjadi doktor, polis, bomba, askar atau cita-cita lain yang sering diungkapkan oleh kanak-kanak sekolah apabila ditanya tentang cita-cita. Selepas menamatkan matrikulasi di Kuantan Pahang pada tahun 2002 aku tidak pun terfikir umtuk menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan tetapi memilih mengambil jurusan Sains Komputer di Melaka.

Beberapa tahun selepas itu, selepas berjaya menghabiskan pengajian aku bekerja di syarikat swasta selama setahun di Kuantan dalam bidang IT. Selepas berhenti kerja di syarikat tersebut, aku mencari kerja lain. Tidak lama selepas itu, ayah kepada kawan baik aku memberikan aku borang permohonan Guru Sandaran Tidak Terlatih. Aku mencuba nasib mengisi borang permohonan tersebut dan menghantarnya ke PPD Kuantan. Aku memohon jawatan tersebut bukan kerana cita-cita aku ingin menjadi guru tetapi inginkan kerja semata-mata. Apakah terjadi selepas itu sama ada aku berjaya mendapatkan jawatan GSTT ke tidak saya akan sambung dalam post yang akan datang...

Bye...Assalamualaikum

Kongsi ilmu...




Assamualaikum kepada pembaca semua...

Kali ini aku teruskan coretan dalam blog ini. Aku baru pulang dari menghadiri kursus di PKG Kudat tentang Frog VLE yang berlangsung selama dua hari. Terima kasih kepada penceramah dan fasilitator yang banyak berkongsi ilmu tentang langkah-lamgkah membina laman pembelajaran menggunakan Frog VLE. Aku harap selepas ini aku dapat berkongsi segala ilmu yang diperolehi kepada rakan-rakan guru di sekolah aku nanti.

Kita sebagai manusia memerlukan orang lain untuk meneruskan kehidupan. Kita belajar ilmu daripada orang lain. Ilmu yang yang diperolehi itu harus dikongsi dengan orang lain kerana ilmu itu bukan milik kita tetapi milik Maha Bijaksana. Tidak sesiapa yang boleh berbangga dengan banyaknya ilmu yang diperolehi dan tidak boleh menjadi kedekut untuk berkongsi ilmu tersebut dengan orang lain. Percayalah ilmu kita akan bertambah jika kita sentiasa merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan orang lain. Jadilah seperti air hujan lebat yang menyuburkan tanah yang kering. Aku coretkan semua ini untuk berpesan kepada diriku ini yang selalu lupa bahawa ilmu itu bukan milik kita seorang.

Semoga kita berjumpa lagi pada coretan yang akan datang.


Isnin, 18 Ogos 2014

Sudah sekian lama...

Assamualaikum. Apa khabar semua? Semoga berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.
Sudah lama aku tidak menulis dalam blog ini sejak aku ditempatkan mengajar di Kudat Sabah. Aku sudah lama tidak membuat coretan kerana sibuk dengan tugas dan menyesuaikan diri untuk hidup di perantauan.
Tahniah diucapkan kepada kawan2 Dpli Gstt yang dipilih untuk berkhidmat sebagai guru di seluruh pelosok tanahair dari Perlis sampai ke Sabah. Anak bangsa negara ini perlukan khidmat kita semua untuk membantu mereka membina masa depan yang cerah.
Setakat ini dulu coretan ringkas aku kali ini. Insha Allah ada masa nanti kita bersua lagi.

Isnin, 7 Oktober 2013

Ulangkaji Part5

Salam kawan2...

Pada hari  nie JOM kita mengkaji tentang Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan Pembelajaran dan projek i-THINK.


a. Kemahiran Berfikir dalam P dan P
Sila klik link untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kemahiran Berfikir dalam P dan P --->Kemahiran Berfikir



b. Projek  i-THINK 

- diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Agensi Inovasi Malaysia ( AIM ).

- membantu sekolah memupuk Kemahiran Berfikir ( KB ), mahir dalam Penyelesaian Masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif di kalangan murid sekolah.

- melahirkan inovator pada masa hadapan.

- Sila klik link untuk maklumat lanjut mengenai i-THINK --->  laman web i-THINK